Thursday 28 January 2016

Program NILAM

PROGRAM NILAM



Program NILAM

1.  Apakah usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid-murid sekolah?

Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.






‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.




Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.




Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.




• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini




 Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.

• Mengesahkan rekod dan mengumpul data

Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.

• Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran

Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.



Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).




TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka dan ia dijalankan pada dua peringkat persekolahan :

a. Sekolah Rendah

Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut :

Jumlah Buku
Pengiktirafan
90 - 179
Gangsa
180 - 269
Perak
270 - 359
Emas
360 ke atas
NILAM

b. Sekolah Menengah

Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:

Jumlah Buku
Pengiktirafan
72 - 143
Gangsa
144 - 215
Perak
216 - 287
Emas
288 ke atas
NILAM




Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian umur murid seperti :

- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :

Jumlah markah aktiviti
Pengiktirafan
100 – 199
Gangsa
200– 299
Perak
300 – 399
Emas
400  ke atas
NILAM




Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku.




Melihat kepada statistik data yang dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati penglibatan murid-murid kian meningkat dengan statistik pada akhir 2010 menunjukkan penglibatan pelajar sekolah rendah dalam Program NILAM Tahap Jauhari ialah 90.66%% berbanding 89.92% pada tahun 2009. Manakala, bagi sekolah menengah pula, jumlah pelajar yang menyertai program NILAM di Tahap Jauhari ialah 87.11% berbanding dengan penglibatan 85.25% pada tahun 2009. Berdasarkan data yang dikumpul pada tahun 2010, purata kadar pembacaan murid adalah 20 buah buku setahun bagi sekolah rendah dan 10 buah buku setahun bagi sekolah menengah.
Namun begitu, usaha kita tidak akan berhenti setakat ini sahaja dalam membentuk budaya membaca dalam kalangan murid-murid. Kita bertekad untuk mencapai sasaran kita iaitu penglibatan 100% murid dalam Program NILAM bagi mencapai kadar literasi dan numerasi yang disasarkan dalam NKRA pendidikan serta menyokong Teras1, Membina negara bangsa melalui memperkasa bahasa kebangsaan dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di luar lingkungan persekolahan.




Walaupun cita-cita kita untuk mencapai penglibatan 100% murid masih belum tercapai namun usaha-usaha giat dijalankan oleh rakan-rakan kita dalam rangkaian BTP di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan juga Pusat Kegiatan Guru. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada semua rakan-rakan bahagian KPM yang lain serta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka program-program galakan membaca. Sebagai contoh, kita juga melaksanakan beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program NILAM ini. Antaranya ialah aktiviti Kem Membaca 1 Malaysia, Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku dan juga pameran-pameran buku yang juga mendapat sokongan dari Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perpustakaan Negara Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka serta rakan perkongsian pintar agensi luar seperti Scholastic Malaysia, Microsoft Sdn. Bhd, Sasbadi Sdn. Bhd., RHB dan juga dari IPTA serta IPTS.
Selain daripada itu, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program NILAM sewaktu pemantauan ke sekolah-sekolah. Secara tidak langsung ini menunjukkan penegasan KPM mengenai peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir sekolah perlu memberi kerjasama dan perhatian dalam merangka, mengurus, melaksana dan memantau program-program galakan membaca yang dirancang oleh Guru Perpustakaan & Media (GPM).




• Projek Pukal - Setiap kelas dibekalkan 50-100 naskah buku dan pelajar dibenarkan meminjam buku setiap hari sebanyak mana mampu.
• Bicara Buku - Murid digalakkan membaca sebuah buku dan berhimpun untuk membincangkan secara kritis tentang isu-isu dan persoalan yang timbul dalam buku tersebut.
• Anotasi buku - Murid digalakkan untuk banyak membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku rekod. Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh mendapat markah Rakan Pembaca untuk aktiviti ini.
• Bercerita - Murid terutamanya murid sekolah rendah digalakkan untuk bercerita tentang cerita dari buku-buku yang pernah dibaca.
• Jejak Maklumat - Murid dikehendaki mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan buku atau isi sesebuah buku yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah atau sumber bacaan di kawasan yang disediakan.




Ada dua perkara yang perlu dimaklumkan bila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang pertama ialah jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca buku-buku yang berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang menarik dengan teks yang mudah difahami.

Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku-buku perlulah mengambil kira faktor-faktor ini dalam usaha membina koleksi di Pusat Sumber Sekolah. Di pihak KPM, kita ada menyediakan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah bagi menjadi panduan kepada sekolah-sekolah dalam pembelian bahan-bahan bacaan di pusat sumber. Senarai ini merupakan senarai bahan bacaan yang dikemukakan oleh penerbit dan pembekal buku dan telah melalui proses penilaian. Langkah ini diambil bagi memastikan hanya bahan-bahan bacaan yang berkualiti saja yang boleh dibekalkan ke sekolah.

Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend dan minat murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat teknologi dan ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program NILAM juga sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada.

Dalam pelaksanaan Program NILAM kita meminta murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri. Seiring dengan kepesatan teknologi, Program NILAM juga menggalakkan mereka membaca buku-buku dalam bentuk digital yang boleh diperolehi dari Pusat Sumber Digital, e-book dan juga CD/DVD. Malah mereka juga boleh memuat turun bahan-bahan bacaan dari internet untuk mereka baca dan simpan sebagai koleksi peribadi mereka. Sekarang ini sudah ada teknologi di mana buku-buku berbentuk digital boleh ”membacakan” buku tersebut untuk kita dan boleh disimpan di dalam pemain muzik MP3 dan juga iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita di zaman ini, tidak ada alasan lagi sebenarnya untuk kita mengatakan bahawa kita tidak ada masa untuk membaca.




Di peringkat sekolah, galakan yang berbentuk hadiah dan sijil adalah sebahagian dari pengiktirafan dan ganjaran yang diberi. Di kebanyakan sekolah, murid-murid yang melibatkan diri secara aktif dalam Program NILAM akan diberikan ganjaran dan pengiktirafan mengikut kemampuan pihak sekolah dan biasanya dijalankan sewaktu Hari Anugerah Cemerlang. Pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku yang dibaca oleh murid-murid.




Setiap negeri mempunyai satu program Anugerah Tokoh NILAM Peringkat Negeri yang diurus setiakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing serta mengikut prosedur penilaian yang diiktiraf di peringkat SIRIM. Di peringkat ini, murid-murid yang melibatkan diri dengan aktif dalam Program NILAM akan dinilai bukan sahaja dari segi bilangan buku yang dibaca tetapi juga kemahiran mereka menjawab soalan-soalan penilaian yang dijalankan oleh hakim-hakim yang dilantik. Pemenang di peringkat negeri akan dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan.




Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan dilakukan bersempena dengan Anugerah NILAM Kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun yang sama. Calon-calon dari 4 kategori iaitu calon Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk memilih pemenang mengikut kategori dan juga Tokoh NILAM Sekolah Rendah serta Tokoh NILAM Sekolah Menengah di kalangan pemenang kategori tersebut.

Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan merupakan pengiktirafan tertinggi KPM dalam usaha membina tabiat membaca dalam kalangan murid selaras dengan hasrat negara melahirkan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan menjelang 2020 apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Credit :http://cikgurazak.blogspot.my/2015/01/program-nilam.html